Apakah Yang Najib Tahu dan Bila?

Kes sensasi dan penuh ledakan politiknya yang membabitkan pembunuhan Altantuya Shaaribuu, seorang penterjemah dan kekasih malang, melibatkan perbicaraan tiga orang tertuduh setakat ini memang amat menakjubkan.

Ini adalah kerana orang yang tidak berada bersama mereka menjadi orang yang paling jelas kemungkinan mempunyai peranan paling besar untuk menghadapi tuduhan yang sama dan menjadi saksi utama. Orang itu bernama Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Seperti mana mengejut dan menggemparkan kisah pembunuhan itu, besar kemungkinannya ia mencetuskan impak dan implikasi yang dahsyat melepasi ruang jenayah itu sendiri dan turut melibatkan urusan pertahanan Malaysia.

Tiga orang yang tertuduh membunuh jelitawan berusia 28 tahun itu ialah Abdul Razak Baginda, yang menghadapi tuduhan berkonspirasi dengan Ketua Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, anggota Unit Tindakan Khas Polis. Mayat Altantuya telah dijumpai berkecai di pinggir hutan berdekatan Shah Alam tahun lalu selepas beliau ditembak di kepalanya pada 8 Oktober dan mayatnya telah diledakkan hingga bersepai dengan menggunakan ‘bom plastik’ C4.

Walaupun perbicaraan sudah berlangsung sejak Jun, nama Najib telah disebut hanya sekali sahaja di mahkamah Shah Alam di mana perbicaraan sedang dilangsungkan. Ketika nama beliau disebut, secara tiba-tiba pihak pembela dan juga pendakwaraya telah tergesa-gesa memohon agar sebutan itu ditarik balik. Akhbar arus perdana Malaysia yang membodek kerajaan telah menyentuh nama Najib secara imbasan sahaja dengan hanya menerbitkan kisah dia telah mengangkat sumpah dengan nama Allah yang dia tidak pernah menemui perempuan itu.

Namun demikian, Abdul Razak, yang didakwa sebagai perancang dan juga bekas kekasih mangsa yang terbunuh itu adalah seorang kawan baik dan penasihat politik kepada Najib sehinggalah beliau diitahan. Keakraban mereka jelas terpampang bila Najib menulis kata-kata aluan dalam salah sebuah buku tulisan Abdul Razak. Terdapat begitu banyak bukti di sebalik bantahan Najib bahawa dia tidak pernah menemui Altantuya. Abdul Razak, yang besar kemungkinannya pernah ditemani oleh si penterjemah yang dibunuh itu, pernah berkata di Peranchis pada satu masa yang sama pada 2005, dan mungkin terbabit dalam satu kisah perniagaan penuh skandal yang menjadikan Abdul Razak kaya-raya. Sesungguhnya pembunuhan itu dikatakan telah dilakukan oleh pengawal peribadi Najib sendiri. Seorang kawan si mangsa telah memberi keterangan di mahkamah betapa dia pernah melihat sekeping gambar Najib bersama wanita yang malang itu. Namun, mahkamah tidak pula menunjukkan minat melihat gambar tersebut.

Cuba fikirkan fakta berikut, yang telah diceduk daripada akuan bersumpah Abdul Razak, sepucuk surat tulisan tangan si mangsa dan dijumpai selepas kematiannya, dokumen yang lain dan segala fakta yang terdedah di mahkamah terbuka. Semua itu bukannya benda baru, tetapi tidak seorang pun di mahkamah – baik pendakwaraya mahupun peguambela — telah cuba mengaitkan segala bukti itu untuk membolehkan jari telunjuk dihalakan kepada Najib.

1. Abdul Razak Ketua Pusat Strategik Malaysia di Kuala Lumpur, sudah pun mempunyai isteri ketika beliau menemui Altantuya yang dikatakan sebagai seorang penterjemah bebas dan jurubahasa, di satu temasya makan malam di Hong Kong pada 2004. Demikianlah yang dinyatakan dalam surat akuan bersumpah yang Abdul Razak berikan kepada para penyiasat selepas dia ditangkap pada November 2006.

2. Dalam pengakuannya, Abdul Razak telah mengaku menemui Altantuya sekali lagi di Shanghai pada awal 2005 dan terbang balik bersama si mati ke Kuala Lumpur dan juga Peranchis pada pertengahan 2005. Beliau telah mengaku kepada para penyiasat betapa dia pernah memberikan wanita itu US$10,000 sebanyak tiga kali dalam bentuk wang tunai dan intan-berlian.

3. Altantuya telah menemani Abdul Razak ke Paris ketika Kementerian Pertahanan Malaysia merundingkan melalui sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Perimekar Sdn Bhd, yang ketika itu dimiliki oleh sebuah syarikat lain bernama Ombak Laut, yang dimiliki sepenuhnya oleh Abdul Razak Baginda. Perundingan adalah untuk membeli dua buah kapal selam jenis Scorpene dan sebuah kapal selam terpakai jenis Agosta yang dihasilkan oleh kerajaan Peranchis melalui satu usahasama Peranchis-Sepanyol bernama Armaris. Kontrak itu dianggap tidak berdaya-saing.

4. Kementerian Pertahanan telah membayar sekitar satu bilion Euros (bersamaan RM4.5 bilion) kepada Amaris untuk mendapatkan tiga buah kapal selam tersebut. Daripada situ Perimekar menerima komisen sebanyak 114 juta Euros, (RM 510 juta ) daripada Amaris. Demikian yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Zainal Abidin Zin kepada Dewan Rakyat (Parlimen). Beliau menyebut bahawa komisen itu bukanlah merupakan wang sogokan kepada Perimekar. Mengikut beliau, wang itu adalah untuk kerja-kerja ‘kordinasi dan khidmat sokongan’ walaupun casnya itu dianggap begitu lumayan sehingga mencecah 11 peratus daripada harga jualan kapal selam tersebut.

5. Najib telah menafikan pernah bersua muka dengan Altantuya, mengikut laman web ‘Malaysian Association in France’ dan laman-laman web yang lain. Pada 11 Jun, 2005 Najib telah mengadakan satu sidang akhbar di Peranchis selepas melawat dua tempat di mana dua buah Scorpene itu sedang dibina. “Sebagai sebuah negara maritim, kapal selam ini akan menyuntik keupayaan tambahan,“ kata beliau kepada media. Sebelum itu ketika berada di Brest, Belgium, Najib telah mengadakan lawatan ke pangkalan tentera laut di mana petugas kapal selam tentera laut Malaysia sedang menjalani latihan dan mengikut catatan log sebuah pertubuhan kapal selam Australia, Najib telah memberikan jaket sumbangan Perimekar kepada anggota petugas kapal selam itu.

6. Ini bererti Najib, Abdul Razak dan Altantuya telah berada di Eropah pada waktu yang sama. Abdul Razak merupakan salah seorang rakan akrab Najib. Mengambil kira keakraban itu dan hakikat betapa ketiga-tiga mereka berada di Eropah pada waktu yang sama — dan Najib pula pernah memberikan jaket bikinan Perimekar kepada petugas kapal selam – adalah tidak masuk akal kalau mereka tidak pernah bersua muka. (he.he.he…. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Najib mereka tidak bertemu di ranjang….. penterjemah)

7. Mengikut pengakuan Altantuya seperti yang ditulis dalam warkah terakhirnya, dia telah meneruskan kerja-kerja peras ugut ke atas Abdul Razak, dengan helah untuk mengelakkan ahli keluarga beliau mengetahui akan perhubungan sulit mereka. Akan tetapi, dalam pengakuan bersumpah beliau kepada polis, Abdul Razak berkata bahawa dia sudahpun memberitahu ahli keluarganya mengenai hubungan sulit itu dan berkata bahawa beliau (Altantuya) terus menuntut agar dibayar US$500,000. Jika betul keluarga beliau sudah mengetahui perhubungan sulit itu, dan hubungan itu pula sudahpun diputuskan, adalah tidak masuk akal bahawa peras ugut disebabkan hubungan yang terputus boleh mendorong Abdul Razak Baginda menguruskan pembunuhan Altantuya, walaupun dalam kenyataannya, dia ada menyebut perihal Altantuya pernah mengancam anak perempuan Razak Baginda. Dia lebih mudah berkata bahawasanya “isteri saya sudah mengetahui hal ini, dan anda perlu pergi jauh dari sini.” Kenapa pula dia tidak memilih jalan undang-undang dan mengusir Altantuya serta melindungi ahli keluarganya?

8. Peras ugut adalah satu perkataan yang ganjil kecuali kisah peras ugut Altantuya itu mungkin telah melibatkan komisen yang dibayar untuk membeli kapal selam tersebut – di mana dia memainkan peranan sebagai penterjemah – dan melibatkan hubungan antara Najib dan Abdul Razak. Ayah beliau, Shaaribuu Setev, merupakan seorang professor psikologi di Ulan Bataar, pernah berkata beberapa kali perihal Altantuya telah dibunuh kerana “tahu terlalu banyak maklumat.“

9. Apa yang membuatkan perkara ini tambah ganjil ialah keupayaan Abdul Razak bertemu dengan pengawal peribadi Najib dan meminta agar Altantuya disingkirkan. Tentulah tidak masuk akal kalau Abdul Razak boleh memberikan arahan kepada pengawal peribadi Najib untuk membunuh Altantuya tanpa perkenan Najib sendiri. Timbalan Komander UTK Bukit Aman Mastor Mohd Ariff, yang rapat dengan dua orang pengawal peribadi itu, berkata setiap anggota bawahan unit itu diperlukan menjalankan tugas mereka dengan mengikut arahan ketua tanpa banyak soal, dengan menggambarkan anggota UTK ‘adalah laksana robot’ yang hanya akan menerima arahan daripada pegawai atasan. Dalam hubungan ini Abdul Razak adalah merupakan rakan akrab Najib sahaja dan bukannya seorang pegawai atasan yang dimaksudkan.

10. Satu lagi persoalan ialah kenapa pula rekod kemasukan Altantuya dan dua rakan beliau daripada Mongolia dalam simpanan pihak Imigeresen telah dipadamkan daripada fail imigeresen itu. Adalah sukar mempercayai kemampuan dua orang pengawal peribadi menelefon Jabatan Imigeresen dan meminta agar rekod kemasukan dipadamkan oleh pihak yang berkuasa. Walaupun Abdul Razak dikatakan mempunyai pengaruh, beliau tidak pula mempunyai kuasa mengnyahkan rekod tersebut. Jika demikian, siapa pula yang melakukannya?

11. Walaupun pembunuhan merupakan satu jenayah yang tidak boleh diikat-jamin, Razak telah dibebaskan dengan ikat-jamin pada tahap awalnya dan tanpa kawalan berasaskan pernah mengidap penyakit ‘bronchitis’ (gatal kerongkong) dan sebelum itu ikat-jamin tersebut pernah dilanjutkan sehingga mencetuskan bantahan orang ramai menyebabkan beliau terpaksa disumbat dalam penjara. Siapakah yang mempunyai pengaruh untuk membebaskan seorang manusia biasa yang dituduh membunuh; terbiar bebas khususnya bersandarkan alasan haprak yang dia pernah dijangkiti penyakit gatal kerongkong?

12. Kenapakah Timbalan Pendakwaraya, Salehuddin Sidin, menolak kemungkinan penglibatan pihak lain selain tiga orang yang tertuduh jauh lebih awal sebelum selesainya siasatan kes tersebut?

13. Kenapakah salah seorang peguambela kepada dua orang tertuduh menarik diri, sambil menyebut betapa strategi pembelaan beliau telah diancam daripada atas?

14. Bagaimanakah pengawal peribadi boleh memiliki peledak C4, sejenis bahan letupan yang hanya terdapat dalam simpanan Kementerian Pertahanan Malaysia dan bukannya pihak polis?

Tidak satupun soalan ini pernah dikemukakan di mahkamah dan kedua-dua pihak pendakwaraya dan juga peguambela telah mempamerkan satu pertanda tidak mahu merewang melepasi persoalan yang membabitkan ketiga-tiga yang tertuduh. Pihak pendakwa telah cuba mencelah testimoni dua orang saksi penting mereka, hanya dengan tohmahan keterangan mereka tidak dapat diterima, dan terdapat pelbagai usaha untuk mengnyahkan kebanyakan bahan bukti fizikal daripada kes tersebut. Pengakuan salah seorang pengawal peribadi itu telah diarah agar diketepikan. Najib pula belum pernah disoal siasat secara rasminya berkaitan kes tersebut.

Terdapat beberapa perkara ganjil telah terjadi di mahkamah:

1. Kenapakah hakim yang pada mulanya mendengar kes itu ditukarkan dan seorang hakim yang baru sangat dinaikkan pangkat di Mahkamah Tinggi mengambil alih tugas itu?
2. Kenapakah pasukan pendakwaraya digantikan dengan satu pasukan lain pada malam sebelum bermulanya perbicaraan?
3. Kenapakah kedua-dua pihak pendakwaraya dan peguambela cuba mengetepikan testimoni sahabat Altantuya, Burmaa Oyunchimeg, 26, berhubung gambar menunjukkan Altantuya bersama Najib? Kenapa tidak ada usaha untuk mensapina gambar itu, yang kononnya berada dalam simpanan ibu Altantuya di Mongolia, ataupun berusaha untuk mendapatkannya?

4. Kenapakah tidak disapina rekod Imigeresen untuk mencari siapakah yang memberikan arahan agar catatan dipadamkan sebagai usaha mengetepikan kehadiran Altantuya di negara ini?

5. Kenapakah pihak pendakwa dan juga peguambela tidak mengemukakan soalan di mahkamah apakah Razak pernah membuat lawatan ke Peranchis dengan Altantuya mengenai kontrak pertahanan itu dan siapakah yang pernah menemani mereka? Kenapakah tidak ada usaha untuk mensapina rekod untuk mengetahui apakah dia telah dibayar oleh kerajaan Malaysia?

6. Kenapakah tidak ada usaha mensapina rekod perjalanan Abdul Razak mengenai segala peristiwa pelayarannya?

7. Kenapakah Ketua Turus Najib tidak pernah dipanggil menjadi saksi, sedangkan Abdul Razak pernah memberitahu mahkamah betapa beliau telah memberi arahan kepada pengawal peribadi agar menangani karenah Altantuya?

8. Kenapakah pihak pendakwa berusaha mahu mencela dua orang saksi mereka yang paling penting? Salah seorang daripada mereka ialah Koperal Rohaniza Roslan yang juga merupakan teman wanita kepada pegawai kanan antara dua orang pengawal peribadi itu. Sedangkan beliau (Rohaniza) pernah melihat Altantuya dilarikan oleh teman lelakinya dalam sebuah kereta? Seorang pegawai lagi ialah Yusri Hasan Basri, anggota UTK dan rakan tertuduh Sairul, yang mempunyai maklumat penting berkaitan bahan bukti di rumah seorang lagi pengawal peribadi?

Akhirnya, nampak sangat terdapat banyak bahan bukti yang sepatutnya mahkamah, pihak pendakwa dan juga peguambela sama-sama bersetuju tidak patut diperdengarkan langsung akan butirannya dalam mahkamah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: